Post sebelum ini cerita tentang pengenalan dropship, post kali ini pula tentang bagaimana mahu mulakan bisnes dropship ini.
Tentu ada yang tertanya-tanya bagaimana jika ingin memulakan perniagaan berkonsepkan Dropship ini. Pertama-tama, apa yang perlu anda buat adalah mencari DropShipper yang sah yang menawarkan servis Dropship kepada pengedar. Namun, anda tentu tidak mahu terjebak di dalam scam perniagaan dalam talian kerana tidak dinafikan kes-kes penipuan seperti ini banyak terjadi. Oleh itu, bagaimana anda boleh mengenal pasti syarikat DropShipper yang anda pilih itu merupakan syarikat yang sah dan telus dalam menjalankan perniagaan mereka?
SIASAT.
Ya, anda perlu menyiasat latar belakang DropShipper yang dipilih, pastikan sama ada mereka ini di bawah kategori pengilang atau pemborong. Siasat maklumat syarikat penjual, nama syarikat dan nombor pendaftaran syarikat, pastikan syarikat ini merupakan syarikat yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang. Semak nama pemilik, alamat syarikat dan nombor telefon untuk dihubungi, pastikan ianya memang wujud. Kenal pasti kepakaran dan pengalaman mereka, sudah tentu semakin lama syarikat ini menjalankan perniagaan mereka, semakin anda boleh mempercayai syarikat tersebut. Lakukan carian mudah melalui internet, untuk mengetahui jika terdapat sebarang aduan dari ejen Dropship yang lain terhadap syarikat itu, tidak kisah lah aduan dari segi produk, servis atau berkenaan syarikat itu sendiri. Ambil tahu mengenai kos penghantaran dan kenal pasti syarikat pos laju pilihan mereka ketika berurusan. Kenal pasti jumlah tenaga kerja yang mereka ada. Jika boleh, sediakan dokumen syarat-syarat bertulis atau kontrak, yang meliputi jaminan untuk produk pembeli. Ini penting bagi memastikan pembeli mendapat pulangan jika produk yang dibeli itu rosak, tidak sampai pada masa yang ditetapkan atau dalam situasi yang lebih teruk – produk itu tidak sampai langsung ke tangan pembeli. Sekiranya anda sudah berpuas hati dengan syarikat DropShipper anda, maka anda bolehlah membuka akaun peruncit dan dapatkan kod keahlian anda dengan syarikat berkenaan.
Efisien
Untuk menjadikan proses urus niaga lebih efisien, maka anda bolehlah mewujudkan satu laman web e-dagang ataupun akaun Facebook untuk perniagaan anda. Gunakan ia sebagai tempat di mana anda melakukan promosi untuk melariskan produk yang dijual. Pamerkan dengan jelas gambar-gambar produk dan juga sedikit penerangan mengenai produk. Jika anda memperniagakan produk pakaian, pastikan ukuran saiz ada disertakan sekali. Jangan lupa untuk menyediakan borang pesanan untuk pengunjung laman web anda membuat pesanan melalui talian untuk produk yang ingin dibeli. Borang pesanan perlulah lengkap dengan ruang untuk pembeli memasukkan butiran peribadi seperti nama, alamat, nombor untuk dihubungi dan produk yang ingin dibeli.
Apabila pelanggan sudah membuat pesanan, dan anda sudah pun memastikan yang pembayaran telah dibuat, maka anda bolehlah menghantar pesanan tersebut kepada DropShipper dengan menyertakan butiran peribadi pelanggan. DropShipper kemudiannya akan memproses pesanan itu, dan produk akan dibungkus dan dihantar terus kepada pelanggan. Nama dan alamat anda akan ditulis di bungkusan tersebut, sebagai sumber rujukan pembeli. Gunakan ‘tracking number’ daripada DropShipper anda, untuk anda memeriksa transaksi dan status penghantaran dengan syarikat pos laju yang digunakan.

No comments:
Post a Comment